KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis, Konstabel Mohamed Kamil Paimin, 24, yang didakwa melanggar orang ramai semasa perhimpunan Bersih 3.0, kelmarin, tampil memberi penjelasan mengenai kejadian itu.
Menurut Kamil, dia berada dalam keadaan separa sedar dan hilang kawalan ke atas kereta Proton Waja yang dipandunya selepas mengalami pendarahan di kepala akibat dibaling objek keras.
Rakaman video menunjukkan kereta itu kemudian terbabas ke kaki lima tetapi tidak dapat dipastikan sama ada orang ramai yang berada di kawasan itu cedera dalam kemalangan tersebut kerana tiada laporan dibuat setakat ini.
Dakwaan sesetengah pihak bahawa kereta itu diterbalikkan penyokong Bersih untuk mencederakan Kamil juga tidak dapat dipastikan kerana ada sumber mengatakan kenderaan itu disengetkan bagi mencari sama ada terdapat mangsa tersepit di bawah kereta.
Menceritakan semula kejadian itu, Kamil berkata, dia diarah membawa kereta tersebut untuk mengambil anggota polis lain, apabila diserang di hadapan pusat membeli-belah Sogo.
“Ketika saya mula masuk ke dalam kelompok penyokong itu, keadaan masih terkawal, tetapi mereka tiba-tiba menyerang.
“Mereka membaling batu, botol, kon polis dan objek lain ke arah tingkap kereta, dan satu benda keras terkena kepala saya.
“Saya tak sempat minta bantuan rakan dan terus pengsan. Saya tak ingat apa yang berlaku selepas itu,” katanya yang masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.
Kamil, yang baru dua tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, juga bersyukur selepas mengetahui jurugambar stesen TV Al-Hijrah, Mohd Azri Mohd Salleh, 28, membantunya ketika diserang.
Namun, Azri juga cedera di kepala kerana dipukul sekumpulan kecil individu dipercayai peserta perhimpunan semasa cuba membantu Kamil dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu.
“Saya suruh mereka berhenti serang saya tetapi rayuan itu tidak diendahkan. Nasib saya baik kerana orang lain di kawasan itu membantu saya, dan kamera saya juga selamat,” katanya yang turut menerima rawatan di HKL.
Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam turut melawat Kamil, Azri serta anggota trafik, Mohd Nasir Abu dan wartawan The Sun Mohd Radzi Abdul Razak yang turut cedera ketika perhimpunan kelmarin.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Dalam pertemuan tersebut, Mohd Radzi, 28, berkata Perdana Menteri berjanji kepadanya akan membantu menyiasat dan mencari mereka yang didakwa bertanggungjawab memukulnya sehingga mengalami kecederaan parah di kepala.
Mohd Radzi berkata, beliau dan rakannya dipukul teruk semasa mereka menjalankan tugas dekat Kompleks Mara, Jalan Raja Laut, semasa perhimpunan itu. – Sinar Harian
No comments:
Post a Comment