Suasana hari ini tidak seperti 3 atau 4 bulan yang lepas. Tamat sahaja PRU13, keadaan menjadi sedikit tenang walaupun masih ada segelintir pihak yang cuba mengheret rakyat ke jalanan bagi memenuhi cita-cita peribadi.
Sebelum ini kita banyak disajikan dengan ceramah-ceramah politik jalanan. Ketika itu, baik dalam media arus perdana mahupun ceramah di padang yang becak, sudah pasti kita dapat mendengar caci maki dan pertandingan londeh-melondeh di antara satu sama lain.
Bagi individu yang otak berniaga, 2 atau 3 bulan yang lepas adalah bulan rezeki pada mereka. Baik yang jual air hinggalah kepada membekal banner ataupun poster. Sekarang adalah waktu untuk mereka seperti ini merancang kereta apa yang perlu ditukar, ke mana mereka mahu bercuti dan sebagainya.
Saya tidak lagi berminat untuk mengulas tentang apa yang telah berlaku dalam PRU13. Mahu tidak mahu, kita kena menerima perkara yang telah terjadi. Biarpun apa yang telah berlaku itu menyumbang keuntungan pada kita atau memberi kerugian yang amat dasyat untuk pihak kita, semua itu harus diterima dengan hati yang terbuka.
Jangan asyik bercakap hingga abaikan kerja parti. |
Pakatan Rakyat boleh senyum lebar dengan keputusan PRU13 apabila majoriti besar orang cina menyokong parti mereka, tetapi pada masa yang sama mereka perlu kaji dengan terperinci kenapa undi orang Melayu tidak memihak kepada mereka. Barisan Nasional pula pasti boleh mengukir sedikit senyuman apabila majoriti bumiputera memberi sokongan pada mereka, tetapi mereka juga perlu membuat analisa dengan tepat kenapa orang Cina secara total tidak menyokong Barisan Nasional pada PRU13.
Itulah realiti PRU13. Tahniah buat pemenang dan kepada yang tidak menang, terimalah keputusan ini dengan hati yang terbuka. Janganlah lagi jadikan rakyat sebagai alat politik mereka dengan berdemo di atas jalan dan sebagainya.
Walaupun PRU13 telah lama melabuhkan tirainya, tetapi masih banyak suara-suara sumbang yang kedengaran baik di pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang. Perasaan tidak puas hati individu tertentu ditafsirkan melalui cerca mencerca dan menyalahkan orang lain selepas PRU13. Masing-masing tidak mahu mengalah dan asyik melihat kelemahan orang lain berbanding kudis di badan sendiri.
Saya tidak berminat untuk mengulas tentang masalah dalam pihak pembangkang kerana itu tidak menguntungkan negara kita. Apa yang perlu dalam kita menghadapi PRU yang bakal tiba, pihak kerajaan harus mengkaji balik kelemahan di pihak mereka. UMNO ada lemahnya, MCA juga ada kudisnya, MIC tidak terlepas dari khilaf mereka dan begitu juga parti komponen seterusnya.
Namun, sejauh mana analisa kelemahan diri sendiri ini telah dilaksanakan? Apakah buat masa sekarang mereka sudah dapat mencari jawapan mengapa keputusan PRU13 BN tidak mendapat mandat 2/3 majoriti? Sudahkan BN mencari punca sebenar kenapa orang cina menolak BN secara total? Tepuk dada tanyalah iman kita.
Dari pengamatan sebagai orang luar dari gelanggang Barisan Nasional, saya amat yakin yang parti kerajaan masih belum membuat analisa terperinci tentang kelemahan masing-masing. Tetapi, amat kecewa apabila wujud cadangan jadikan Barisan Nasional sebagai parti tunggal tanpa melalui analisa terperinci keputusan PRU13. Kenapa perlu membuat cadangan membabi buta?
Barisan Nasional telah berhadapan dengan 12 PRU sebelum ini tanpa menjadikan BN sebagai parti tunggal. Rekod menunjukkan BN terus unggul dalam arena politik tanahair. Saya tidak nampak, faktor BN bukan parti tunggal, rakyat cina menolak BN pada PRU13. Sebaliknya, ada faktor lain telah mengubah landskap sokongan pengundi pada PRU13 yang perlu kita kaji dengan lebih teliti.
Saya tidak mahu menyalahkan MCA dan GERAKAN dengan keputusan PRU13 yang lepas, tetapi kadang-kadang kita juga perlu berkata dengan benar demi sebuah perjuangan. Sejauh mana MCA dan GERAKAN menjalankan tugas mereka sebagai parti yang mewakili orang cina semasa PRU13?
Kadang-kadang, saya juga merasa amat pelik apabila melihat di kawasan pengundi Cina, sayap wanita UMNO yang memerah keringat untuk masuk berkempen dan menghantar handbill kepada pengundi. Betul!! Inilah semangat setiakawan dalam Barisan Nasional, tetapi sejauh mana jentera wanita UMNO mampu mendalami isi hati pengundi cina berbanding jentera MCA mahupun gerakan?
Dalam tempoh kempen PRU13, kelihatan anak melayu UMNO yang beria-ia mengantung banner atau poster calon MCA dan GERAKAN. Apakah dalam MCA dan GERAKAN tidak ada sayap pemuda untuk menjalankan tugas logistik dan sebagainya? Nampaknya, yang betul-betul mahukan BN menang besar adalah orang Melayu walaupun yang bertanding itu bukanlah orang Melayu.
Mungkin bukan semua dalam parti MCA dan GERAKAN sama seperti yang saya nyatakan, tetapi yang kebanyakkan adalah begitu. Barisan Nasional parti tunggal atau UMNO yang bekerja seperti babi tunggal? Sama-sama kita fikirkan.
Justeru, saya tidak menyokong hasrat kepimpinan tertinggi untuk jadikan Barisan Nasional sebagai parti tunggal dalam menghadapi PRU13. Apa yang perlu dilakukan, setiap parti komponen perlu menilai kembali kelemahan serta kekuatan parti mereka masing-masing. Tradisi yang diamalkan selama ini cukup baik. UMNO bekerjalah untuk orang Melayu, MCA dan GERAKAN berkhidmatlah untuk orang cina, MIC taburlah jasa kepada orang India begitulah seterusnya. Ini kerana hanya jauhari mengenal manikam.
MCA dan GERAKAN janganlah menghukum UMNO kononya UMNO parti rasis hingga menyebabkan pengundi cina jauhkan diri daripada Barisan Nasional, tetapi teruslah bekerja untuk menukar persepsi pengundi cina bahawa MCA dan GERAKAN suara penting mewakili orang cina dalam Parlimen.
Harap PM Najib tidak akan kecewakan perasaan orang Melayu yang banyak berjasa kepada UMNO/BN dalam PRU13 yang lepas. Parti tunggal bukan jalan penyelesaian kepada semua masalah ini. Jangan pula suatu hari yang PM Najib kejar tidak dapat dan yang dikendong hilang tanpa beliau sedar.
Yer.. Aku setuju.. Bila di kawasan umno bertanding, umno bekerja sendiri. Bila di kawasan komponen, umno juga yang ke depan utk bekerja...
ReplyDeleteAwal waktu ketika menuntut kemerdekaan, Umno lah yang berada di hadapan. Mempertahankan kemerdekaan juga umno terus berada di benteng hadapan.
ReplyDelete