Jika dikaji dengan begitu mendalam, bukan Hudud yang dituntut oleh Allah s.w.t yang tidak mahu dilaksanakan oleh kerajaan tetapi Hudud PAS yang jelas tidak menitikberatkan keadilan telah dipertikaikan oleh kerajaan. Tok mengajak rakan taulan sekalian untuk membaca dan memahami apa itu Hudud PAS.
KUPASAN HUKUM HUDUD KELANTAN
Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993. Ini berikutan dengan janji Parti Islam SeMalaysia untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihanraya 1990.
Namun begitu, sehingga sekarang Undang-undang ini belum dikuatkuasakan oleh Negeri Kelantan. Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, telah memberi berbagai-bagai alasan untuk perkara. Antara alasan yang paling besar yang diberikan adalah pihak kerajaan Pusat (UMNO) tidak membenarkannya. Namun Nik Aziz tetap berjanji akan melaksanakan Hukum Hudud tersebut, setelah dikritik oleh Sultan Kelantan pada 19 Mei 1996.
Dari pandangan biasa, memanglah mudah untuk kita menuding jari kepada kerajaan Pusat dan menuduh ianya tidak islamik dan sebagainya. Tapi bila kita kaji semula, kerajaan Pusat di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad tentulah mempunyai sebab yang kuat untuk menghalang perlaksanaan hukum tersebut.
Berikut adalah petikan ucapan Dr. Mahathir di Nilam Puri, 1994
Ini tidak bermakna kita menolak hukum hudud. Kita hanya menolak tafsiran dan undang-undang PAS Kelantan yang tidak serasi dengan maqasid syariah. Penolakan sesuatu yang salah adalah wajib jika kita berpegang kepada ajaran Islam.
UMNO tidak melihat undang-undang ini sebagai UMNO, sebagai sebuah Parti Politik. UMNO mengasingkan parti dan politik dalam perkara ini. UMNO hanya mengkaji daripada sudut agama semata-mata. Siapa juga mesti kaji, terima atau tolak undang-undang PAS daripada sudut agama. Adalah salah melihat undang-undang Islam daripada sudut atau kepentingan Parti. UMNO tidak berbuat demikian.
Yang menolak dan patut menolak undang-undang PAS ialah orang Islam dalam UMNO. Pendirian UMNO sehingga kini ialah kerana orang Islam dalam UMNO belum mendapat bukti kajian yang tepat dilakukan berlandaskan ilmu feqah dan maqasid syariah. la bukanlah satu keputusan yang dibuat oleh UMNO secara sewenang-wenang.
Saya bercakap di sini sebagai seorang orang Islam yang dipertanggungjawab sebagai Presiden UMNO. Saya juga dipertanggung jawatan Perdana Menteri Kerajaan Malaysia. Soal undang-undang PAS bukan soal Dewan Rakyat semata-mata, walaupun Dewan Rakyat mempunyai peranan mengikut Perlembagaan Negara.
Kerajaan perlu mengkaji secara teliti undang-undang PAS Kelantan. Satu badan yang terdiri daripada orang Islam yang pakar dalam agama, hukum hakam dan jenayah perlu ditubuh. Mereka ini hendaklah terdiri daripada orang yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang lain selain pegangan kepada agama Islam. Namun mereka perlu kepakaran bukan sahaja dalam agama Islam tetapi juga dalam agama-agama lain dan dalam bidang jenayah dan undang-undang sivil dan jenayah. Seperti biasa mereka perlu mengambilkira keadaan semasa yang mempengaruhi amalan dan pelaksanaan ajaran, ibadat dan hukum dalam Islam.
Kerajaan Malaysia, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap agama dan umat Islam di Malaysia akan mengambil tindakan untuk menubuhkan badan ini. Sementara itu undang-undang PAS tidak boleh diterima atau dilaksanakan oleh sesiapa kerana ia masih bukan undang-undang Islam dan bukan undang-undang negara.
Bila dirujuk di kalangan cerdik pandai agama, sebenarnya memang terdapat beberapa kekurangan yang serius dalam Undang-undang Hukum Hudud tersebut. Di bawah ini penulis akan cuba memberikan sedikit kupasan berkenaan kekurangan-kekurangan tersebut, terutama sekali dalam bab zina.
PETIKAN UNDANG-UNDANG HUKUM HUDUD KELANTAN
Berikut ini di nukilkan sebahagian dari Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud):
BAHAGIAN III - Keterangan
39. Bagaimana membukti kesalahan. En. 2/91.
(1) Kecuali jika ada percanggahan dengan peruntukan yang ada dalam Enakmen ini, maka Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1991 hendaklah dipakai untuk membuktikan kesalahan-kesalahan di baawah Enakmen ini.
(2) Semua kesalahan di bawah Enakmen ini samada kesalahan hudud atau kesalahan qisos, atau kesalahan ta'zir, hendaklah dibuktikan dengan keterangan lisan atau iqrar yang dibuat oleh tertuduh.
40. Bilangan saksi
(1) Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan semua kesalahan di bawah Enakmen ini melainkan zina, hendaklah sekurang-kurangnya dua orang.
(2) Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan zina hendaklah tidak kurang daripada empat orang.
41. Syarat-syarat menjadi saksi
(1) Tiap-tiap orang saksi hendaklah terdiri daripada seorang lelaki Islam yang akil baligh dan hendaklah seorang yang adil.
(2) Seseorang itu adalah dianggap adil jika ia menunaikan apa-apa yang disuruh oleh Islam dan menjauhi daripada dosa-dosa besar serta tidak mengekalkan dosa-dosa kecil dan juga mempunyai isti'mal al-muru'ah, (perasaan dan pendirian menghormati diri).
(3) Seseorang itu adalah dianggap adil, sehingga sebaliknya dibuktikan.
42. Keadaan keterangan
(1) Untuk membuktikan tuduhan terhadap tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud atau qisos, keterangan yang diberi hendaklah benar-benar terang dan tidak ada apa-apa kesamaran dan keraguan.
(2) Tiap-tiap saksi hendaklah dengan terang menyatakan bahawa dia benar-benar melihat perbuatan yang didakwakan itu dan dalam kes zina pula keempat-empat orang saksi itu hendaklah menyatakan bahawa mereka benar-benar melihat kemasukan zakar ke dalam faraj perempuan pasangan yang bersetubuh itu dengan juga hendaklah jangan ada perselisihan dan pertelingkahan di antara saksi-saksi di dalam keterangan itu.
43. Menarik balik keterangan
(1) Untuk menyebabkan hukuman hudud dikenakan kepada tertuduh setiap saksi itu hendaklah berdiri teguh di atas keterangan terhadap tertuduh itu, bukan sahaja dalam masa perbicaraan dan selepasnya, tetapi juga ketika hukuman itu dilaksanakan, kerana jika keterangan itu ditarik balik sebelum hukuman itu dilaksanakan, maka tertuduh itu tidak lagi boleh dikenakan hukuman hudud, dan jika keterangan itu ditarik balik ketika tertuduh sedang menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.
(2) Dalam kes zina jika seseorang saksi itu enggan memberi keterangan, atau memberi keterangan yang berlawanan dengan tuduhan, atau memberi keterangan menyokong tuduhan itu tetapi kemudiannya menarik balik keterangan itu, yang mana dengan sebab itu bilangan saksi yang menyokong tuduhan itu menjadi kurang daripada empat orang, maka tuduhan zina terhadap tertuduh itu tidaklah terbukti, dan yang demikian tertuduh itu adalah terlepas daripada dikenakan hukuman hudud; tetapi saksi-saksi yang telah memberi keterangan menyokong tuduhan itu adalah bersalah kerana melakukan kesalahan qazaf.
44. Iqrar
(1) Sebaik-baik keterangan untuk menyabitkan tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud ialah iqrarnya sendiri.
(2) Iqrar itu hendaklah dibuat dengan sukarela dan tanpa apa-apa paksaan di hadapan seorang pegawai kehakiman dan kemudiannya diulangi di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan; dan jika perbicaraan itu mengenai kes zina maka iqrar itu hendaklah diulangi sebanyak empat kali di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan:
Dengan syarat bahawa iqrar itu hendaklah dibuat dan diulangi dengan tidak ada apa-apa ugutan, janji atau dorongan; dan hendaklah dengan nyatanya membuktikan secara terperinci bahawa tertuduh itu benar-benar telah melakukan kesalahan yang dengannya dia telah dituduh, dan dia faham bahawa dia akan dihukum kerana membuat iqrar.
(3) Iqrar itu hanyalah boleh diterima sebagai keterangan terhadap tertuduh yang membuat iqrar itu sahaja, dan tidak boleh digunakan terhadap orang lain; dan untuk menjadikannya sah maka iqrar itu hendaklah bukan satu iqrar yang ditarik balik.
45. Menarik balik iqrar
(1) Sesuatu iqrar itu boleh ditarik balik oleh tertuduh yang membuatnya pada bila-bila masa sahaja; meskipun pada ketika dia sedang menjalani hukuman.
(2) Jika sesuatu iqrar itu ditarik balik sebelum dilaksanakan hukuman ke atasnya maka tertuduh itu tidaklah lagi boleh dikenakan hukuman itu, dan jika dia menarik balik iqrar itu pada ketika dia sedang menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.
(3) Jika pada bila-bila masa sebelum atau pada ketika hukuman dilaksanakan, tertuduh itu dapat melarikan diri daripada pihak yang berkuasa, maka dia hendaklah dianggap sebagai telah menarik balik iqrar itu; dan yang demikian peruntukan subsekseyn (2) hendaklah terpakai.
46. Keterangan qarinah
(1) Kecuali seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen (2) dan (3) keterangan qarinah walaupun berkaitan hendaklah tidak boleh dijadikan satu cara yang sah untuk membuktikan kesalahan hudud.
(2) Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dapat membuktikan sebaliknya.
(3) Dalam perkara minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, bau minuman yang didapati dalam nafas tertuduh itu atau muntahnya yang mengeluarkan arak atau sebarang minuman yang memabukkan atau apa-apa kesan darinya, atau pemerhatian Mahkamah kepada keadaan tertuduh itu bahawa dia sedang berada di dalam keadaan mabuk, hendaklah boleh diterima sebagai keterangan untuk membuktikan bahawa dia telah melakukan kesalahan syurb, melainkan jika ia dapat membuktikan sebaliknya.
47. Apabila seseorang tertuduh itu tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud kerana saksi-saksi telah menarik balik keterangan mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 43 atau kerana tertuduh itu telah menarik balik iqrarnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 45 atau kerana keterangan saksi yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan hudud, maka tertuduh bolehlah dihukum dengan hukuman ta'zir, dan mahkamah hendaklah mengambil tindakan untuk menjatuhkan hukuman itu sekiranya ada keterangan yang cukup bagi maksud itu.
(Pelaksanaan Hukum Hudud Di Kelantan, halaman 120-125)
KUPASAN SEKSYEN 41 DAN 42
Seksyen 41 dan 42 menerangkan mengenai syarat-syarat menjadi saksi dan keadaan keterangan yang boleh dikira sebagai sah dari saksi-saksi. Di sini, Dr. Mahathir menerangkan lagi:
Untuk mengesahkan bahawa wanita itu benar-benar telah dirogol dan bukan ianya dengan rela hati berzina, empat orang saksi yang terdiri daripada orang yang tidak berdosa besar dan tidak melakukan dosa-dosa kecil berulangkali diperlukan.
Saksi seperti ini sudah tentu sukar didapati. Yang pertamanya, perogol tidak merogol di hadapan saksi. Ia sudah tentu tidak ingin mendedahkan dirinya kepada hukuman yang berat yang akan dikenakan ke atasnya. Jika hukuman tidak berat sekalipun ia tidak akan mendedahkan dirinya.
Saksi yang mulia tidak akan berdiam diri melihat perbuatan merogol berlaku di hadapan mereka. Tentulah mereka tidak bertanggungjawab jika mereka melihat jenayah yang begitu dasyat berlaku di hadapan mereka tanpa memberi pertolongan. Jika mereka tidak cuba menolong maka mereka akan menjadi orang yang bersubahat dengan perogol. Ini bermakna mereka turut berdosa dan tidak layak lagi untuk menjadi saksi yang boleh diterima.
Hanya jika mereka dipaksa menyaksi dan diugut oleh perogol atau rakan-rakannya mungkin saksi terpaksa menyaksi tanpa membuat apa-apa. Keadaan ini tidak mungkin berlaku melainkan dalam peperangan umpamanya, di waktu mana rogol berlaku tanpa apa-apa sekatan seperti di Bosnia, di mana orang Serb yang bukan Islam sering merogol. Tetapi mereka bukan Islam dan mengikut undang-undang PAS mereka tidak akan dikenakan hukum hudud.
Yang jelas ialah mangsa rogol yang membuat pengaduan tidak mungkin mendapat saksi-saksi yang boleh diterima di bawah undang-undang PAS. Dengan itu perogol tidak boleh didakwa di bawah undang-undang PAS.
Undang-undang PAS juga tidak akan menerima 'circumstantial evidence' iaitu tanda-tanda pada mangsa yang membuktikan ia telah dirogol. Undang-undang PAS tidak menerima kesan atau cedera luka di tempat-tempat berkenaan atau tanda-tanda pada perogol yang menunjuk mangsanya telah melawan untuk mempertahankan kehormatannya.
Dengan tidak adanya saksi yang empat yang diterima sah oleh undang-undang PAS dan penolakan 'circumstantial evidence' maka pengaduan dan tuduhan oleh mangsa rogol akan ditolak. Perogol akan terlepas daripada apa-apa hukuman.
Dari pemahaman di atas, apabila Undang-undang ini dilaksanakan, ia akan menindas golongan-golongan tertentu, seperti mangsa rogol. Ini kerana undang-undang ini dengan jelas menetapkan syarat-syarat yang ketat dan amat sedikit untuk mengesahkan perbuatan zina. Tidak ada alternatif, contohnya penerimaan ‘circumstantial evidence’ seperti yang disebutkan di atas. Mangsa rogol yang sudah tentunya tidak akan dapat membuktikan perbuatan rogol tersebut (berdasarkan keperluan 4 saksi) akan boleh didakwa kerana berzina. Adilkah begitu?
KUPASAN SEKSYEN 46(2)
Seksyen 46(2), mengenai keterangan qarinah, berbunyi seperti berikut: “Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dapat membuktikan sebaliknya.”
Sekali lagi isu mangsa rogol timbul. Jika mangsa tersebut belum berkahwin, hamil ataupun telah melahirkan anak, jika beliau tidak dapat membuktikan beliau telah dirogol, maka beliau akan dikenakan hukuman hudud, iaitu dalam kes ini, rejam sehingga mati / sebatan 100 kali rotan.
Fikirkanlah, di manakah keadilan di dalam undang-undang Hudud ciptaan PAS ini? Mangsa rogol (wanita) akan teraniaya. Sedangkan Ajaran Islam tidak sekali-kainya begitu. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya " Allah yang menurunkan Kitab suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan "(Asy-syura:17)
Satu perkara yang patut ditekankan disini adalah Undang-undang Hudud di atas adalah ciptaan PAS, yang telah diambil bulat-bulat dari sebuah kitab kurun ke13 (maaf tidak dapat dinyatakan nama kitab itu disini) tanpa mengambil kira arus perubahan zaman dan teknologi.
Kerajaan Pusat, (UMNO) sama sekali tidak pernah menolak Hukum Hudud, tetapi hanya menolak Hukum Hudud ciptaan PAS. Terdapat perbezaan yang besar dalam kenyataan di atas. Apa yang diperlukan ialah pemikiran yang rasional dari para pembaca untuk menimbangkan kupasan-kupasan di atas.
No comments:
Post a Comment
Setiap komen yang anda tinggalkan TOKGURU86 amatlah hargai.