Sunday, April 20, 2008

Menghitung nasib bangsa

Pagi tadi ketika selesai solat Subuh, aku menerima satu kiriman sms dari seorang sahabat lama. Kami bersahabat baik lagi semenjak dari bangku sekolah. Aku mengajak sahabatku itu untuk berjumpa di sebuah gerai di tepi pantai sambil mengenakan teh tarik dan nasi lemak.

Asalnya topik perbualan kami berkisar dengan cerita kehidupan masing-masing, sudah lebih 5 tahun aku tidak berjumpa dengannya. Rupa-rupanya beliau sudah mendirikan rumahtangga dan mempunyai seorang cahaya mata. Hanya aku sahaja yang masih sebatang kara menunggu bulan jatuh ke riba.

Topik perbualan kami menjadi semakin panas apabila sahabatku itu menyatakan rasa sedihnya terhadap bangsa Melayu hari ini. Beliau menyatakan bahawa Melayu hari ini masih berfikiran jumud. Aku meng'ia'kan tetapi pada pandangan aku tidak semua yang berfikiran sedemikian.

Aku teringat kata-kata Prof. DiRaja Ungku Aziz, "pada zaman ini saya melihat banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu".

Kemudian aku bertanya pada sahabat aku itu adakah kerana fikiran sempit dan jumud orang Melayu sekarang yang menyebabkan sengketa sesama kita kian berleluasa? Beliau menjawab kerana sesetengah Melayu yang berfikiran sebegini la bukan sahaja sengketa makin berlaku bahkan 5 buah negeri terlepas di tangan pembangkang. Tambah beliau lagi sekiranya penyakit ini tidak di atasi maka Melayu akan tinggal nama dan Tamadun Melayu akan lenyap dalam lipatan sejarah.

Terkasima aku bila mendengar huraian ringkas darinya. Setelah 2 jam berborak, aku pun pulang ke rumah. Menjelang tengahari aku cuba untuk melelapkan mata seketika, maklumla hari cuti. Daripada buang masa dengan begitu saja baik aku tidor. Tahkala di buai angan-angan aku teringat kata-kata sahabat lama aku pagi tadi, Melayu akan tinggal nama dan Tamadun Melayu akan lenyap dalam lipatan sejarah.

Aku teringat kembali tahkala menuntut di universiti dahulu, pensyarahku pernah berkata bahawa dalam Sejarah Dunia tidak semua tamadun-tamadun agung dapat berkekalan. Dan ianya memang fakta kerana Babylon, Sumeria, Assyria hanya tinggal nama dalam lipatan sejarah walaupun ianya merupakan tamadun-tamadun yang wujud beribu tahun lamanya. Aku pun terfikir ada Tamadun Melayu akan menuruti langkah-langkah tersebut?

Lantas bila ku fikirkan kembali Tamadun Melayu gah dengan Institusi Berajanya yang berdaulat. Adakah Tamadun Melayu akan mengalami nasib seperti Tamadun Mesir? Suatu ketika dahulu Tamadun Mesir terkenal dengan kegemilangan Firaunnya tetapi pada hari ini ianya hanya gah dalam buku teks sejarah sahaja.

Ayuh lah pejuang bangsaku, ayuh kita berfikir sejenak adakah nasib bangsa kita akan menjadi sedemikian juga? Adakah kita ingin generasi mendatang mengenali Melayu hanya melalui lipatan teks sejarah sahaja? Adakah ini yang kita inginkan?

Bersatulah bangsaku! Kita hanya tinggal kuasa, yang akan menentukan bangsa.

No comments:

Post a Comment

Setiap komen yang anda tinggalkan TOKGURU86 amatlah hargai.